Monday, 5 September 2016

Pesta Tanglung (15 Sep 2016)

Assalamualaikum,

TANGLUNG merupakan sejenis bekas yang digunakan untuk melindungi lilin daripada tiupan angin, sama ada ketika berjalan pada waktu malam ataupun digantung di halaman rumah. Ia berfungsi sebagai lampu sebelum adanya kuasa elektrik. Tanglung digunakan sejak 250 tahun sebelum Masihi lagi. Maka, ia mempunyai sejarah lebih dari 2,000 tahun.

Pesta tanglung, atau dikenali sebagai Mid-Autumn Festival (Pesta Pertengahan Musim Luruh), disambut pada hari ke-15 dalam bulan ke-8 kalendar Lunar ketika bulan sedang mengambang

Pestang Tanglung HCPP disambut pada 2014

Pesta ini disambut dengan menyalakan pelbagai jenis tanglung yang berwarna-warni, mengambil gambar beramai-ramai, beramah-mesra dengan masyarakat, serta dapat menikmati kuih bulan. Perayaan ini tidak lengkap tanpa kuih bulan iaitu sejenis pastri tradisional yang berintikan pes kacang merah, biji teratai dan kuning telur masin. Di zaman moden ini, terdapat pelbagai perisa inti kuih bulan yang menarik seperti cokelat, kopi, keladi, teh hijau, mangga bahkan durian. Bentuk kuih bulan yang bulat adalah simbolik kepada keharmonian sekeluarga.

Untuk pengetahuan anda, sekarang sudah ada kuih bulan yang halal untuk dinikmati oleh rakan-rakan yang Muslim! Ikhwan Ng antara Revert yang menjalankan bisnes jualan Kuih Bulan Halal. Anda boleh menempah daripadanya.

Pesta ini juga disambut baik oleh HC dan rakan NGO lain kerana ini merupakan salah satu platform dakwah. Masuk Islam bukan bererti masuk Melayu. Jadi sekiranya budaya Cina tidak bercanggah dengan Islam, mereka bebas mengamalkannya walaupun sudah menjadi Muslim. Kefahaman ini penting untuk difahami oleh rakyat Muslim yang hidup di Malaysia yang berbilang bangsa supaya kita dapat hidup dalam masyarakat yang harmoni.

Surat rasmi daripada Jakim yang menunjukkan harus pelaksaan Pesta Tanglung.
Ayuh bersama-sama HC untuk kita berganding bahu meneruskan perjuangan Rasulullah. Berdakwah melalui akhlak dan perbuatan adalah cara paling mudah dan berkesan. Maka mari kita berjumpa dengan masyarakat pada 15 September ini sambil beramah mesra dan membantu apa yang diperlukan.

Berikut adalah petikan daripada tulisan Johari Yeap di Sinar Harian.

Tanglung adalah satu perayaan kerana ada tarikh tertentu untuk menyambutnya, tetapi ia tiada kaitan dengan agama. Agama manakah yang merayakan tanglung? Adakah Buddha? Ataupun Confucius? Atau Taoisme? Tidak sama sekali.

Langsung tiada kaitan dengan agama. Walaupun tanglung ada digunakan dan digantung di kuil-kuil dan tokong-tokong ketika perayaan agama, itu tidak menjadikan tanglung itu suatu perayaan keagamaan.

Terdapat pelbagai legenda mengenai asal-usul pesta tanglung. Satu legenda mengenai Taiyi, Tuhan Syurga pada zaman kuno, yang mengawal takdir manusia dan mempunyai 16 naga. Terdapat pula legenda lain yang mengaitkan pesta tanglung dengan Tianguan, dewa Taoisme yang mengawal nasib manusia.

Ada banyak lagi legenda yang dikaitkan dengan tanglung. Ini tidak menghairankan kerana kebudayaan ini berusia lebih 2,000 tahun. Sememangnya akan wujud bermacam-macam legenda dan mitos.

Begitu juga beberapa kisah dongeng mengenai asal-usul kuih bulan, yang cukup sinonim dengan pesta tanglung. Salah satunya adalah mengenai bidadari bernama Chang-E yang diangkat ke bulan sebagai Dewi Bulan dan menyalakan cahaya di bulan.

Jika dilihat dari sudut asal-usul sesuatu kebudayaan, terdapat perbezaan ketara antara kisah dongeng dan legenda, atau sejarah. Walau apa pun legenda dan sejarahnya, yang pasti, pesta tanglung dan kuih bulan bukannya perayaan agama. Ia adalah budaya Cina sejak turun-temurun.

Masyarakat Cina Muslim menyambut pesta tanglung dengan tidak membelakangkan syariat. Kuih bulan yang halal pun senang didapati sekarang ini.

Memang tidak dapat dinafikan, walaupun sesuatu kebudayaan atau perayaan itu tiada kaitan dengan agama, masih ada yang dilarang dalam Islam jika ia mempunyai unsur-unsur khurafat atau bertentangan dengan Islam.

Walau bagaimanapun, pesta tanglung tidak boleh didasarkan dengan cerita mitos atau legenda kerana tiada sesiapa lagi mempercayai mitos tersebut.

Sebagai contoh, adat menyarungkan cincin ketika berkahwin atau bertunang, itu sebenarnya adalah adat penganut Kristian. Umat Islam pada zaman Nabi dahulu, tiada upacara menyarungkan cincin ketika berkahwin. Mereka sekadar menghadiahkan sepasang kasut.

Begitu juga dengan sambutan hari lahir yang ada kek dan lilin, ia juga adat penganut Kristian. Biji tasbih pula berasal daripada agama Buddha. Ia kini digunakan oleh orang Islam ketika berzikir.

Contoh-contoh di atas menunjukkan betapa sesuatu adat atau amalan itu, yang pada mulanya menjadi amalan penganut agama lain, boleh diamalkan oleh umat Islam zaman sekarang kerana ia sudah tidak mempunyai unsur-unsur keagamaan yang asal.

Ini selari dengan konsep istihalah, iaitu berubahnya sesuatu dari tabiat asal atau sifatnya yang awal.

Begitu juga dengan pesta tanglung. Tiada lagi unsur-unsur mitos atau khurafat yang berkaitan dengan tanglung. Malah, ia boleh digunakan sebagai bahan dakwah. Contohnya dengan menulis kaligrafi Cina yang menyatakan liman Rukun Islam atau enam Rukun Iman di atas tanglung tersebut.

Islam tidak melarang sebarang adat tempatan dan budaya sesuatu tempat selagi adat dan budaya tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan dalam Islam.

Anda boleh membaca artikel penuh disini.


Xiexie. Kamsiah. Syukran.

No comments:

Post a Comment

HCPP welcomed all your feedback and comments? Anything to say? :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...