Thursday 1 November 2012

Majlis Korban Sempena Aidil Adha (28 Okt 2012) - Laporan


Laporan bergambar Majlis Korban HCPP bersama Saudara Baru 1433 H/ 28 Oktober 2012

Alhamdulillah dengan izin ALLAH telah berlangsungnya Majlis Korban Hidayah Centre Pulau Pinang bersama Saudara Muslim kita dengan dua ekor lembu telah dikorbankan di majlis ini. Majlis diadakan di perkarangan rumah Tn Hj Mohd Taufek Abd Rahman YDP JIM Negeri Pulau Pinang bermula 7.30 pagi hingga 2.30 petang. 

Penghargaan kepada program Qurban Kasih Ummah anjuran IKRAM yang menyumbangkan seekor lembu, manakala seekor lagi korban seorang rakan kilang Agilent (rakan HCPP) yang selalu meyokong program-program HCPP dan seorang Saudara Baru.

 
Semua yang terlibat dari awal pagi hingga petang adalah JK HCPP dan keluarga,rakan HCPP, warga IKRAM PP, barisan sayap wanita PP, sukarelawan terdiri daripada saudara baru dari Nepal, Filipina dan orang asli saudara-saudara baru pelbagai bangsa, dan chef dari restoran Cina. Turut diraikan tetamu khas dari Hidayah Centre Pusat (Subang Jaya) yang balik kampung sambil menziarahi keluarga beliau yang kemalangan.  Turut membantu Tuan Haji Rashid Hasnon ahli MPPP merangkap ahli IKRAM, akhi Isahak SU IKRAM PP kedua-duanya memberi Tazkirah dan pengisian yang menarik semasa program berlangsung. Seramai lebih kurang 10 orang penduduk kampung turun padang walaupun program  ini bertembung dengan program Korban lain di kawasan Sungai Nibong (Masjid Sungai Nibong).

Alhamdulillah program berlangsung dengan baik dengan penyertaan lebih daripada 70 orang dan penglibatan lebih daripada 15 orang saudara baru. Kesemua yang hadir turut sama membantu hingga selesai program. Pihak lelaki diberi tugas menyembelih, melapah, mengagihkan daging dan membersihkan tapak sembelihan. Kaum hawa pula bertugas menyiapkan sarapan,menyediakan bahan-bahan masakan dan memasak serta membancuh air minuman.

Antara menu yang dimasak adalah sup gearbox, daging masak kicap, daging air asam dan  kerabu timun. Proses memasak selesai lebih kurang pada 1.15 pm dan diteruskan dengan solat zohor  berjemaah. Alhamdulillah syukur kerana pejabat HCPP hanya bersebelahan tapak sembelihan memudahkan semua membersihkan diri dan berwuduk untuk solat zohor. Tetamu dan JK menjamu selera selepas solat. Daging korban diagihkan kepada saudara baru,  yang hadir serta fakir miskin oleh Tuan Hj Rashid Hasnon.
Masak memasak...

Walaupun suasana korban meriah di majlis ini beberapa JK termasuk pengerusi HCPP tidak melepaskan ‘peluang’ dakwah dan menasihati saudara baru-yang hadir, pantang ada masa senggang walaupun sekejap pasti akan diisi dengan sembang-sembang santai bersama Saudara Baru yang hadir. Mereka juga tidak kelihatan kekok menguruskan lembu yang telah dikorbankan. Tak kurang juga saudara baru yang tunjuk bakat memasak  dalam kuali dan periuk besar dari mula sampai habis masak, dibantu oleh akhawat yang ‘bertugas’. Hasilnya pun mantap, walaupun kekurangan bahan-bahan masak sampingan…Alhamdulillah, sedap dan cukup rasa semuanya.

Jamuan makan selepas selesai semuanya...

Jazakumullahukhairan kathiro kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Korban HCPP buat julung kalinya. Semoga majlis ini mendapat keberkatan dan diterima segala amalan kita.


Seribu wajah, satu akidah.....

    2 comments:

    1. Alhamdulillah....sayangnya tak dapat nak merasa masakan tu....

      ReplyDelete
    2. Golden Rose : jazakallah membantu..tahun depan ikut lagi...anyway, lauk semua marvellous!:)

      ReplyDelete

    HCPP welcomed all your feedback and comments? Anything to say? :)

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...